.

header picture

Sejarah BTPN





 SEJARAH BTPN

C
etusan idea mengenai penubuhan Pusat Sumber Pelajaran Negeri (PSPN) lahir daripada kesedaran bahawa wujudnya ketidakseimbangan dari segi kemudahan pendidikan, persekitaran alam pendidikan serta pencapaian pelajaran dalam sistem persekolahan yang dijalankan di negara ini. Cadangan ini adalah kesinambungan daripada idea seawal 1974 oleh "UNISCO IDENTIFICATION MISSION' kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk penubuhan PSPN.

Proses kajian terhadap cadangan tersebut dijalankan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan (BPPP) yang diketuai oleh Yang Berbahagia Datuk Abdul Aziz bin Ismail mantan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan dan seorang tokoh lagi yang terlibat secara langsung dengan aktif dalam usaha penubuhan PSPN ialah Yang Berbahagia Dato' Abdul Shukor bin Abdullah yang ketika itu menjadi Timbalan Ketua Pengarah BPPP.
Sebagai projek perintis, pada tahun 1982, PSPN berbangunan khas ditubuhkan di empat buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu.

Justeru, Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) dirangka khusus untuk membawa perubahan dan pembaharuan bagi meningkatkan mutu pendidikan terutama di kawasan luar bandar. PSPN diharap dapat mendesentralisasikan keadaan pengajaran dan pembelajaran berpandukan matlamat pendidikan negara.

Konsep desentralisasi dapat dilihat sebagai usaha memperkaya proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah serta menjadikan guru-guru lebih kreatif dan inovatif. Dengan kata lain PSPN adalah satu usaha inovatif bagi membantu menyelesaikan masalah pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru-guru.

PSPN berusaha merapatkan perkhidmatan dan kegiatan bantuan pelajaran dengan pengalaman seharian dalam suasana pendidikan di peringkat sekolah.
Untuk mencapai matlamat yang dirancang itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memberi tanggungjawab kepada Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pelajaran (BPPP) untuk menyelaras kelicinan penubuhan PSPN.